Johor Darul Ta’zim (JDT) sekali lagi melakukan kelainan dalam arena bola sepak negara apabila menjadi pasukan bola sepak pertama di Malaysia yang mempunyai bas antirusuhan.

Kenderaan yang bewarna biru gelap tersebut bakal membawa pegawai dan pemain pasukan itu sewaktu mereka bertandang ke gelanggang lawan yang dikenal pasti berisiko berlaku insiden keganasan oleh penyokong lawan.

Laman Facebook rasmi JDT, Johor Southern Tigers (JST) secara rasmi memperkenalkan bas baru tersebut kepada orang ramai pada pukul 2.30 petang semalam. Bas itu antara lain dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV), jaring besi boleh anjal dan penghadang besi untuk keselamatan anggota pasukan tersebut.

“Pemasangan beberapa ciri tambahan pada bas terbaru pasukan JDT adalah demi keselamatan para pemain, barisan kejurulatihan dan pegawai pasukan ketika bertandang ke tempat lawan.

“Ini khasnya yang dikhuatiri akan mengundang isu-isu tidak diingini seperti balingan objek keras dan berbahaya ke arah bas yang dinamakan sebagai JDT Batu Bas.

“Antara ciri-ciri yang dipasang pada bas  tersebut seperti pemasangan CCTV di sekeliling bas yang dilengkapi pencahayaan dan kebolehupayaan ‘zoom’ untuk jarak jauh.

“Selain itu, jaring besi boleh anjal bagi mengelakkan balingan objek keras turut dipasang serta penghadang besi ‘kangaroo bar‘ untuk menahan rempuhan,” memetik tulisan JST di Facebook.

Menurut JST, mereka terpaksa memperkenalkan JDT Batu Bas untuk tujuan mejaga keselamatan pemain dan pegawai yang sebelum ini selalu diserang oleh perusuh-perusuh dengan cara membaling objek keras ke arah bas.

“Memandangkan terdapat ramai penyokong yang kurang berpendidikan dan bertamadun, itulah sebabnya kami perlu menambah baik bas kami.

“Memandangkan kita tidak dapat mendidik mereka (penyokong pasukan lawan), tiada pilihan lain selain menyediakan bas sebegini,” tambah JST lagi.

Pasukan itu juga berharap tiada lagi insiden seperti sebelum ini berlaku lagi di masa hadapan bagi mengelakkan bola sepak Malaysia menjadi bahan tawa orang ramai.

“Kita seharusnya perlu menikmati keindahan permainan bola sepak,” kata JST.



Post a Comment

 
Top