Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata baik Malaysia mahupun laporan itu menyalahkan sama ada Rusia atau mana-mana kumpulan pemberontak terbabit dalam aktiviti jenayah itu.
"Dalam kes ini, saya tidak melihat sebarang tuduhan, apa juga terhadap Rusia," katanya kepada pemberita selepas majlis penutupan Persidangan Khas Parti Politik Asia di Laluan Sutera di Beijing hari ini.
Liow berkata apa sahaja input daripada pihak-pihak berkaitan berhubung tragedi pesawat pada 17 Julai tahun lepas itu akan diambil perhatian oleh penyiasat teknikal.
Semalam, Duta Rusia ke Malaysia, Valery N Yermolov mendesak Kuala Lumpur menghentikan sikap menunding jari berhubung tragedi itu dan sebaliknya menumpukan perhatian kepada usaha mencari pelaku sebenar jenayah itu.
Laporan akhir siasatan oleh Lembaga Keselamatan Belanda yang dikeluarkan Selasa lepas antara lain mendakwa pesawat milik Malaysia Airlines (MAS) itu ditembak jatuh oleh peluru berpandu BUK buatan Rusia di ruang udara timur Ukraine.
Pesawat berkenaan, dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur, terhempas dan kesemua 298 penumpang dan anak kapal terbunuh selepas ditembak jatuh di Donetsk, wilayah bergolak di wilayah timur Ukraine.

Post a Comment

 
Top