Berikutan kejadian banjir lumpur yang menghakis kawasan bukit di Km52.4 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak berhampiran kawasan Lentang-Bukit Tinggi semalam, pihak Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) percaya ia adalah berpunca dari kegiatan pembalakan tidak terkawal di kawasan Hutan Lipur Lentang.

Menurut Presiden Peka, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil kebimbangan ini pernah disuarakan oleh mereka apabila melihat kegiatan pembalakan tidak terkawal berlaku di hutan itu ekoran projek laluan Tenaga Nasional Malaysia Berhad (TNB) dari Bentong ke Lenggeng, Negeri Sembilan.


Presiden Peka, Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil

Beberapa tindakan pernah dibuat seperti menghantar surat bantahan kepada kerajaan negeri Pahang dan juga pernah memasuki media massa tetapi kerana penguatkuasaan yang masih longgar menyebabkan ada pihak berkenaan rakus menceroboh hutan berkenaan.

“Kerja-kerja pembukaan hutan difahamkan telah bermula sejak akhir Oktober 2013 dan selepas itu, pihak yang berkenaan dengan rakus telah meneroka hutan di kawasan Hutan Lipur Lentang atas nama pembangunan walaupun ia terletak luar daripada jajarannya.

“Apabila kita mendapat tahu hal ini, Peka pernah menghantar surat secara rasmi kepada kerajaan negeri pada 20 Jan tahun lepas termasuk melahirkan kebimbangan tentang kesan-kesan perbuatan tersebut.” 
"Walaupun beberapa siri bantahan dilakukan, namun kegiatan itu masih rancak berlaku menyebabkan hutan semakin gondol sekaligus mendakwa ia menjadi antara punca kejadian tanah runtuh yang berlaku petang semalam."
“Akibat projek laluan TNB Lenggeng-Bentong ini ekologi telah tercemar, tanah juga terdedah kepada hujan menyebabkan aliran air di permulaan bertambah dan tidak terserap ke dalam tanah, tetapi terus mengalir menyebabkan kejadian ini berlaku.

“Ia boleh menyebabkan kejadian yang lebih serius sekiranya kegiatan penerokaan hutan secara haram di Bukit Tinggi dan Hutan Lipur Lentang ini tidak dihentikan kerana ia melibatkan kawasan jajaran utama negeri ini,” katanya dipetik laporan Bernama.

Berikutan kejadian banjir lumpur dan tanah runtuh yang berlaku semelam, kawasan eko-perlancongan Tanah Aina Fareena telah dilanda banjir setinggi lebih satu meter, pertama kali sejak kawasan itu dibuka 12 tahun lalu.

Beliau menggesa supaya kerajaan negeri dan pihak berkuasa memandang serius hal ini dengan melakukan sesuatu tindakan ayng tegas dan drastik bagi menghentikan kegiatan pembalakan tidak terkawal ini sebelum kejadian seumpama ini berlaku lagi.


Post a Comment

 
Top