Harry Kane berjaya menjaringkan gol pertamanya untuk musim ini sekaligus membantu Tottenham Hotspur bangkit untuk membelasah Manchester City, 4-1, di White Hart Lane, sebentar tadi.

City mengejutkan tuan rumah pada aksi separuh masa pertama apabila berjaya mendahului tuan rumah pada minit ke-25 menerusi pemain muda berbakat, Kev De Bruyne.

Tuan rumah terus menyamakan kedudukan pada minit ke-45 melalui Eric Dier sebelum wisel penamat babak pertama dibunyikan.

Bersambung babak kedua, Spurs hanya mengambil masa lima minit sahaja untuk berada di depan apabila Toby Alderweireld meledak gol pada minit ke-50 untuk kedudukan 2-1.

Penyerang Tottenham Harry Kane telah menamatkan kemarau gol selepas 748 minit tanpa gol dalam semua perlawanan bersama Spurs untuk musim ini. Dia berjaya menolak masuk bola pada minit ke-61 selepas bola sepakan percuma Christian Eriksen terkena palang dan jatuh ke arahnya.

Erik Lamela kemudian menambah duka City apabila meledak gol pada minit ke-79 untuk memastikan Spurs mengutip mata penuh dengan kemenangan besar, 4-1.

Tottenham terus melonjak ke tangga kelima liga dengan mengumpul 12 mata, manakala City terus kekal di puncak dengan 15 mata.

Sementara itu,lebih mengujakan lagi apabila pengurus pasukan England Roy Hodgson dikatakan berada di dalam stadium tersebut untuk menyaksikan perlawanan yang menyaksikan Harry Kane meledak gol buat Spurs.


Post a Comment

 
Top