Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) akan mengumumkan harga kad tambah nilai prabayar telefon bimbit kembali seperti sebelum perlaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) pada 1 November ini, lapor Utusan Malaysia.
Memetik Timbalan Menteri Kewangan Datuk Johari Abdul Ghani, Kastam dilaporkan berbincang mengenai perkara itu dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) supaya pengguna tidak lagi dikenakan bayaran tambahan apabila membeli kemudahan tersebut.

Johari berkata, kerajaan tidak akan berkrompromi dengan syarikat telekomunikasi (telko) yang gagal melaksanakan langkah itu dan bersedia mengambil tindakan selanjutnya sekiranya mereka masih berdegil.
 "Bagaimana telko mahu caj, mereka kena fikirkan cara itu. Yang penting, rakyat beli RM10 dapat nilai RM10. Kita mahu Kastam buat susulan dengan SKMM dan buat pengumuman 1 November ini," katanya dipetik berkata selepas satu forum pengguna di Kuala Lumpur semalam.


Katanya, kerajaan tidak boleh menerima alasan pihak telko sebelum ini yang mengatakan sistem komputer mereka belum bersedia untuk itu memandangkan tempoh diberikan kepada telko terlalu lama.
"Jika pihak telko masih memberi alasan tidak bersedia sekalipun, mereka perlu patuh arahan ini, iaitu mengekalkan harga kad tambah nilai seperti asal.
"Sebab, pada logiknya, kalau telko tidak bersedia, kenapa pengguna pula kena tanggung kos tambahan," beliau dilaporkan Utusan berkata.
Mulai April lalu, susulan pengenalan GST 6%, semua telko mengenakan cukai itu pada kad tambah nilai prabayar telefon tetapi bersetuju menambah masa berbual dan khidmat pesanan ringkas (SMS) pada kadar melebihi 6%.
Pengarah GST Kastam Datuk T Subromaniam berkata, keputusan itu dicapai hasil perbincangan pihaknya dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Kementerian Kewangan dan telko.

Post a Comment

 
Top