Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Datuk Zakaria Ahmad, suspek, 20, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah di Bayan Lepas itu bertindak sedemikian akibat cemburu kerana pelajar itu mempunyai teman lelaki lain.

Lelaki terbabit ditahan dua jam selepas penemuan mayat pelajar tersebut dan mengaku telah membunuh mangsa.

"Lelaki itu yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah di Bayan Lepas, mempunyai kunci pendua rumah mangsa dan dipercayai masuk ke dalam rumah itu kira-kira 6 pagi semalam.

"Ketika itu, pelajar perempuan berkenaan tinggal bersendirian kerana ibu bapanya pulang ke rumah neneknya di Bayan Lepas. Polis sedang siasat bagaimana lelaki itu mendapatkan kunci pendua rumah berkenaan," katanya.

Mayat pelajar tersebut ditemui oleh bapanya dalam keadaan terbaring dan berselimut di atas katil yang pulang ke rumah pada jam 7.30 malam.



Selain itu Zakaria juga berkata polis menemui dua bilah pisau yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes. Pisau itu ditemui setelah lelaki tersebut menunjukkan lokasi pisau di sebuah lubang di kawasan pencawang elektrik tempat dia bekerja.

"Polis menemui dua bilah pisau yang dibungkus dalam anak tudung putih yang terdapat kesan darah dipercayai milik mangsa dan siasatan mendapati senjata itu diambil di rumah mangsa. Polis turut menemui semula telefon bimbit mangsa yang dibuang di kawasan tempat kerja suspek itu," katanya.

Katanya lagi, lelaki berkenaan telah mengenali mangsa sejak dari awal tahun ini.

"Mangsa dipercayai dibunuh antara tujuh dan lapan jam sebelum mayatnya ditemui," katanya.

Jenazah pelajar tersebut dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Sungai Batu lebih kurang jam 5 petang hari ini.

Post a Comment

 
Top