Orang ramai hanya boleh membuat urusan tambah nilai minimum RM50 di lorong-lorong tambah nilai di Jambatan Pulau Pinang bermula hari ini.
Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad, Datuk Noorizah Abd Hamid berkata langkah itu diambil selepas kajian teliti dibuat terhadap lorong tambah nilai yang sering sesak dan mengganggu kelancaran lorong-lorong elektronik yang lain.
“Tindakan ini perlu dilaksanakan bagi mengurangkan kekerapan orang ramai membuat urusan tambah nilai di lorong tambah nilai di Jambatan Pulau Pinang,”katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Walau bagaimanapun, Noorizah berkata pelaksanaan ini dikecualikan untuk tambah nilai motosikal sedia ada yang mana pengguna masih boleh membuat urusan tambah nilai serendah RM5. Katanya pengguna masih boleh menambah nilai serendah RM10 dan tanpa caj di Pusat Khidmat Pelanggan PLUS di bangunan pejabat Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang, Juru, Sungai Dua atau Plaza Tol Kubang Semang.
“Orang ramai juga boleh menambah nilai kad elektronik mereka di lebih 580 lokasi tambah nilai yang lain di sekitar Pulau Pinang termasuklah mesin-mesin ATM, stesen minyak, kedai serbaneka 24 jam, pasar raya terpilih dan lain-lain lagi,”katanya.
Kutipan tol secara elektronik dilaksanakan sepenuhnya di lima buah plaza tol di utara iaitu di Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang, Bukit Kayu Hitam, Jitra, Kubang Semang dan Lunas bermula 9 Sept lepas.
Post a Comment